Biometrik merupakan kaedah untuk mengecam (recognize) individu berdasarkan ciri-ciri biologi (biological) dan tingkah laku (behavioral) individu tersebut. Ciri-ciri biologi dan tingkah laku individu seperti cap jari, tapak tangan, anak mata, suara, muka, pengecaman asid deoxyribonucleic (DNA), keystroke, tandatangan dan sebagainya telah digunakan untuk mengenal pasti individu sejak dahulu lagi. Di peringkat global, penggunaan teknologi biometrik telah meningkat terutamanya dalam bidang keselamatan dan forensik bagi tujuan pengenalpastian dan pengesahan identiti seseorang individu. Contohnya,semua lapangan terbang di Amerika Syarikat menggunakan sistem pengenalan biometrik yang mengandungi gambar serta cap jari pelawat-pelawat asing. Negara Jepun pula banyak menggunakan kaedah urat saraf (vein) bagi sistem kedatangan di pejabat/syarikat dan sistem maklumat peribadi di institusi-institusi pendidikan serta kesihatan.Di Malaysia, teknologi biometrik juga telah dimanfaatkan oleh banyak agensi Sektor Awam dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan mereka. Antara aplikasi yang menggunakan teknologi biometrik adalah MyKad sebagai dokumen pengenalan warga Malaysia dan Automated Fingerprint Identification System (AFIS) bagi mengenal pasti identiti warga Malaysia melalui pengesanan cap ibu jari. Teknologi biometrik yang menggunakan cap jari juga digunakan bagi Sistem Pasport,Sistem Biometrik Pengesanan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan Biometric Fingerprint Identification System (BIOFIS) untuk mengesan penjenayah. Terdapat juga agensi-agensi yang menggunakan biometrik untuk akses masuk bangunan pejabat.
No comments:
Post a Comment