Terdapat beberapa jenis biometrik yang biasa digunakan seperti berikut:
Cap Jari
Teknologi cap jari menggunakan imej optik atau electronic field imaging untuk mengenal pasti identiti melalui pattern-matching dan minutiaes. Imbasan cap jari individu akan dibandingkan dengan templat cap jari yang disimpan di dalam sistem.Kaedah biometrik ini mempunyai tahap ketepatan yang tinggi di mana telah terbukti tidak terdapat lebih dari satu individu yang mempunyai cap jari yang serupa.Kaedah ini telah lama digunakan di peringkat global bagi pengesahan identiti individu dan pengenalpastian penjenayah.
Anak Mata (Iris)
Teknik ini menggunakan ciri-ciri imej anak mata yang unik. Alat pengimbas mata akan mengambil foto mata yang beresolusi tinggi dan merekodkan data tersebut.Data ini seterusnya akan ditukarkan kepada algoritma dan dibandingkan dengan karakter dan bentuk anak mata yang telah direkodkan. Kaedah ini sesuai digunakan untuk akses lokasi-lokasi yang bertahap keselamatan yang tinggi, contohnya memasuki bilik kebal yang mengandungi bahan-bahan rahsia.
Muka
Teknologi biometrik ini menggunakan imbasan imej muka iaitu reka bentuk muka sebagai pengesahan identiti seperti kedudukan hidung, mata, dagu dan mulut. Sistem pengenalpastian muka akan membuat analisis ke atas data dan membandingkannya dengan templat muka yang terdapat di dalam kad pintar (smart card) atau templat muka di dalam pangkalan data. Dari segi ketepatan, kaedah ini adalah kurang tepat jika imej muka yang diimbas dibandingkan dari sudut yang berbeza. Kaedah ini sesuai digunakan bagi mengesan penjenayah terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan orang awam seperti di lapangan terbang dan sebagainya.
Suara
Kaedah imbasan suara membolehkan rakaman suara yang direkodkan, disimpan dalam komputer dalam jangka masa tertentu. Perisian bagi pengenalpastian suara individu akan merekodkan cara percakapan serta frekuensi setiap perkataan.Sistem yang baik akan dapat mengenal pasti suara percakapan walaupun berubah,contohnya serak. Kaedah ini sesuai digunakan bagi aplikasi yang banyak berinteraksi dengan suara. Antaranya, capaian kepada akaun bagi perkhidmatan perbankan dan pengenalpastian pelanggan bagi perkhidmatan panggilan oleh operator.
Pengecaman Asid Deoxyribonucleic (DNA)
Kaedah identifikasi asid deoxyribonucleic (DNA) adalah kaedah pengecaman yang agak tepat berdasarkan hasil kajian yang menunjukkan kebarangkalian 2 individu berkongsi DNA yang sama adalah kurang dari satu bagi setiap seratus bilion. Walau bagaimanapun, kaedah ini sukar digunakan kerana agak kompleks serta memerlukan kemahiran yang tinggi. Kaedah ini biasa digunakan bagi mengenal pasti identiti seseorang individu yang tidak dapat dikenali melalui proses pengecaman secara fizikal.
Geometri Tangan
Pengenalpastian individu menggunakan kaedah imbasan tapak tangan adalah mudah dan ringkas. Kaedah ini menumpukan kepada tiga (3) dimensi bentuk tapak tangan iaitu merangkumi imej tapak tangan yang terdiri daripada panjang (length),tebal (thickness), struktur tulang, lengkungan (curve) dan jarak antara sendi tangan (joints of the hand). Sistem/alat imbasan tangan akan membuat pemadanan antara imej yang dibaca dengan imej yang telah didaftarkan.
Urat Saraf (Vein)
Kaedah pengesahan menggunakan urat saraf yang biasa dilakukan adalah melalui imbasan urat saraf pada tangan individu. Teknologi ini mengenal pasti corak urat saraf pada tangan individu. Antara urat saraf yang digunakan bagi pengesahan adalah urat saraf pada jari,pergelangan tangan, tapak tangan dan belakang tangan.Penggunaan urat saraf mempunyai kelebihan kerana urat saraf pada individu adalah unik coraknya dan tidak mudah bertukar. Selain itu, kedudukan urat saraf yang berada di bawah lapisan kulit menyebabkan kerosakan tidak mudah berlaku dan sukar untuk dipalsukan. Walau bagaimanapun kaedah ini agak mahal dan penggunaannya masih belum menyeluruh.
Tandatangan (Signature)
Kaedah pengesahan ini menggunakan imej tandatangan. Teknologi imbasan tandatangan akan meneliti dan menganalisis aspek-aspek seperti bentuk, stroke order, kecepatan dan tekanan sesuatu tandatangan dibuat dan membandingkan dengan tandatangan yang telah direkodkan bagi mengesahkan individu.
Keystroke
Imbasan keystroke adalah melalui kaedah/cara taipan di papan kekunci. Imbasan ini akan diukur melalui kawasan jari pengguna menekan kekunci, jangka masa pengguna menekan sesuatu kekunci dan perbezaan masa antara satu kekunci ke kekunci yang lain. Proses pengenalpastian akan membandingkan ciri-ciri tekanan kekunci dengan data sedia ada di dalam sistem untuk pengesahan. Kaedah ini sesuai digunakan oleh agensi yang menjalankan risikan dan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan impak yang tinggi terhadap keselamatan negara.
Lain-lain
Selain kaedah pengesahan biometrik yang telah dinyatakan, terdapat beberapa kaedah lain yang tidak dikomersialkan antaranya adalah pengecaman cara berjalan (gait) dengan merekodkan cara individu melangkah, jarak luas setiap langkah, kelajuan berjalan dan masa kitaran (cycle time). Kaedah-kaedah pengecaman lain termasuk imbasan suhu tangan yang menggunakan struktur tisu di bawah lapisan kulit di telapak tangan, imbasan suhu wajah yang menggunakan bentuk infrared di bawah kulit muka, pengecaman pergigian dan pengecaman struktur telinga.
No comments:
Post a Comment